Tanah Subur Penuh Sejarah, TAIF

Tanah Subur Penuh Sejarah, TAIF

Sharing is caring!

TAIF merupakan lokasi yang cukup terkenal dengan peristiwa dan kisah sedih Nabi Muhammad SAW berdepan dengan penentangan dan penghinaan ketika berdakwah kepada penduduk kota tersebut. Perjalanan Rasulullah ke kota itu dibuat selepas kewafatan Saidatina Siti Khadijah dan Abu Thalib.

Kerana menerima tentangan dan ancaman daripada kaum Quraisy di Mekah, baginda berjalan kaki menuju ke Taif bagi menyebarkan Islam dan mendapatkan bantuan serta perlindungan. Usaha Rasulullah bagaimanapun ditentang oleh penduduk kota itu, selain baginda diperlakukan dengan kasar.

Ketika diserang penduduk Taif, seorang lelaki bernama Addas telah menghulurkan bantuan kepada baginda, sekali gus menjadi orang pertama di kota itu memeluk agama Islam. Itu antara kisah ringkas berkaitan sejarah Taif.

Berkait rapat dengan sejarah perjuangan dakwah Rasulullah, maka Taif yang sinonim dengan Bandar Bunga Mawar itu kini menjadi antara destinasi persinggahan umat Islam seluruh dunia setiap kali menunaikan umrah.

Menurut Pengurus Cawangan Juara Travel, Cawangan Seri Manjung Perak, Abu Hassan Abdul Karim, pihaknya menawarkan pakej umrah beserta aktiviti ziarah ke Taif memandangkan Taif merupakan bandar yang mempunyai kaitan sejarah dakwah Rasulullah.

“Mengunjungi tempat bersejarah seperti Taif ini sangat penting, apatah lagi Taif antara lokasi yang mengingatkan kita tentang perjuangan Rasulullah menyampaikan dakwah menyebarkan Islam.

“Justeru, pihak kami menyertakan sekali ziarah ke Taif dalam pakej umrah sebagai satu ruang untuk memberi peluang kepada umat Islam menjejak perjalanan dakwah Rasulullah serta menghayati sejarah penting yang begitu signifikan kepada umat Islam hari ini.

“Kebanyakan jemaah yang mengikuti pakej yang ditawarkan akan mengerjakan umrah setelah selesai aktiviti ziarah Taif, di mana mereka akan dibawa ke Qarnul Manazil iaitu miqat untuk berniat umrah bagi jemaah yang mahu menunaikan umrah,” katanya yang juga Ketua Pengurus Agensi untuk Zurich Takaful Malaysia Berhad.

Dalam pada itu, menurutnya, ramai yang menggambarkan tanah Arab merupakan kawasan yang kering kontang dan mempunyai suhu panas namun, Taif merupakan bandar di Arab Saudi yang mempunyai pemandangan hijau seperti Cameron Highlands di Malaysia.

“Berbeza dengan kawasan lain di tanah Arab, Taif merupakan dataran tinggi yang mempunyai pelbagai tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan. Lokasi yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Mekah itu pernah mencecah suhu paling rendah, 4 darjah Celsius dan paling tinggi 40 darjah Celsius,” katanya.

Sumber : Utusan

Jangan lupa like kami di Facebook

Ikuti kami di :

Sharing is caring!

Please follow and like us: