Tadika Pertama di Negara Ini Mulakan Pendidikan AI, Robotik

Tadika Pertama di Negara Ini Mulakan Pendidikan AI, Robotik

Sharing is caring!

Sebuah Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) di sini, Whyte House Education, menjadi pusat pendidikan awal di negara ini yang memulakan program pendidikan dan latihan Kecerdasan Buatan (AI) robotik.

Pengarah eksekutif kumpulan, Jery Teoh berkata program itu dibangunkan oleh UBTech Robotics Limited dari China, sebuah syarikat robotik AI global yang terlibat dalam pembangunan teknologi AI dan robotik sejak penubuhannya pada 2012.

“Kira-kira 150 kanak-kanak, berumur antara lima hingga enam tahun, dijangka terlibat dalam program ini dan mereka mungkin berpotensi menjadi pengaturcara AI dan jurutera robotik generasi akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di sini.

MOU itu ditandatangani antara UBTech Robotics, Tech Dome Penang (TDP) dan Fame International Mobile Technology Sdn Bhd untuk pembangunan dan pengaturan program pendidikan robotik untuk orang ramai dan sekolah, meliputi dari pra-sekolah hingga ke pengajian tinggi, di Pulau Pinang.

Pada majlis itu, UBTech diwakili oleh pengarah jualan serantaunya, Ray Ong Swee Lieng, manakala TDP diwakili oleh ketua pegawai eksekutifnya Dr Khong Yoon Loong dan Fame International oleh pengarahnya, David Chew Yian Hui.

Majlis tersebut disaksikan oleh pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Domestik dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

Teoh berkata pelajar harus terdedah kepada program pendidikan sepefrti itu untuk membangkitkan minat dalam bidang sains dan teknologi, dengan itu lebih bersemangat untuk mempelajarinya.

“Sains bukan sekadar subjek; ia adalah satu cara hidup untuk generasi akan datang, kerana teknologi sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita, “katanya.

Sementara itu, Dr Khong berkata untuk memulakan perkongsian itu, UBTech menyumbang sebanyak RM120,000 manakala kerajaan Pulau Pinang menyumbat RM50,000 untuk menganjurkan acara robotik khas dikenali Robomania 2019, yang akan diadakan pada 14 dan 15 Jun.

Pertandingan membina robot ini menawarkan peluang untuk memenangi robot humanoid UBTECH Robotics Alpha 1S bernilai RM3,500, selain Robot UBTECH JIMU bernilai RM1,000 untuk diberikan kepada peserta awal. Bayaran masuk untuk pertandingan ini ialah RM350.

Sumber : Bernama

Ikuti kami di :

Sharing is caring!

Please follow and like us: