Mengapa Abu Mayat Chin Peng(Ketua Parti Komunis Malaya) dibawa ke Malaysia?

Bagaimana …Abu Mayat Chin Peng (Ketua Pengganas Komunis) di Malaysia?

Sharing is caring!

 

Chin Peng meninggal dunia pada jam 6.20 pagi 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok, dan sejak itu ramai yang menuntut abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia. Antara yang lantang menuntut abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia ini ialah pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh, Teresa Kok dan Dr P Ramasamy.

Antara yang lantang mendesak supaya ini tidak dibenarkan pula adalah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hussin Ismail. Kata mereka, negara tidak berhutang apa-apa dengan Chin Peng, malah beliau mengakibatkan rakyat menderita dan lebih 10,000 meninggal dunia akibat kekejaman PKM.

Kerajaan, khasnya melalui Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bertegas menolak tuntutan ini.

Alasan utama mereka ialah kerana kerajaan sensitif terhadap perasaan keluarga angkatan tentera, anggota polis dan orang awam yang dibunuh atau diseksa oleh PKM.

Ketua Polis Negara waktu itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, malah mengumumkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba membawa masuk abu mayat atau memorabilia Chin Peng, dan menahan dua individu di Lapangan Terbang Pulau Pinang.

Tindakan kerajaan ini juga disokong oleh Tun Dr Mahathir dalam tulisan beliau yang disiarkan oleh New Straits Times pada 1 Oktober 2013 dan oleh blog beliau keesokan harinya.

Oleh itu, adalah mengejutkan bila tiba-tiba sahaja muncul laporan bahawa abu mayat Chin Peng telah dibawa pulang ke Malaysia serta ditabur di laut berdekatan Lumut dan di hutan sekitar Banjaran Titiwangsa disertai upacara peringatan Chin Peng pada 16 September lalu.

Pada 28 November 2019, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia. Berdasarkan panduan membawa balik dan keluar abu mayat, ahli keluarga atau sesiapa sahaja perlu memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Namun begitu, persoalan yang timbul, bagaimana abunya boleh terlepas masuk ke Malaysia? Sedangkan KDN sendiri memaklumkan ianya tidak dibenarkan bawa masuk Malaysia.

 

Memetik laporan dari Malaysiakini, menurut kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng iaitu  Chan Kan Fook, 81 tahun berkata selepas abu mayatnya tiba di Ipoh, mereka telah menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama.

“Biarlah dia kembali ke laut dan gunung di tanah airnya, biarlah dia selamanya dengan kawan-kawannya yang berkorban untuk negara ini,” kata Chai.

 

Bagaimana seorang warganegara Malaysia boleh menyatakan Chin Peng dan PKM telah berkorban untuk negara ini sedangkan sebenarnya PKM banyak melakukan keganasan. Kumpulan ini menangguk di air keruh kerana beranggapan kerajaan yang ada sekarang berbeza berbanding kerajaan terdahulu. Mereka merasakan tiada tindakan boleh dibuat oleh kerajaan PH selain menangkap mereka sedangkan mereka telah tua.

Namun begitu, majoriti rakyat Malaysia masih menantikan  tindakan lanjut ekoran perkara ini . Rakyat Malaysia sedang tunggu dan lihat, kerajaan PH menjalankan tugas dengan patriotik atau tidak. Kerajaan PH perlu mengambil kira sensitiviti perasaan ahli keluarga mangsa kekejaman PKM, kesengsaraan seluruh rakyat Malaysia semasa zaman darurat atau hanya ingin memastikan undian besar dalam Pilihanraya Malaysia yang akan datang.

 

Siapa Chin Peng

Semasa berumur 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Chiang Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Namun, buku kecil ‘On Protacted War’ karangan Mao Zedong mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941.

Pada tahun 1940, beliau diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun.

Chin Peng memimpin MPAJA(Malayan People Anti-Japanese Army), iaitu pasukan gerila bagi menentang tentera Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Service dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.

Selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal dalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh dan menyeksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British. Mereka turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Tindakan puak yang didakwa radikal tidak pernah disekat oleh MPAJA. Ini kemungkinannya MPAJA sebenarnya sedang menilai kejayaan tindakan sedemikian. Membiarkan tindakan ahlinya bermaharajalela membunuh dan menyeksa penduduk sekali gus menunjukkan tindakan tersebut mendapat sokongan tersembunyi daripada para pemimpin MPAJA.

Tindakan puak radikal dalam MPAJA iaitu Parti Komunis Malaya(PKM), telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Kiai Salleh Karim dari Batu Pahat, Johor. Akibat daripada tindak balas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa.

Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal ‘Order of the British Empire ‘ kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu.

Memimpin Parti Komunis Malaya

Di bawah pimpinannya, Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu, ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.

Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan atiesme. Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu ialah candu manusia, namun apa yang berlaku di Tanah Melayu pada waktu itu ialah mereka mengamalkan prinsip keagamaan seperti mana yang dapat dilihat dalam salah seorang tokoh PKM iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah.

Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit dengan melancarkan perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ke tangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya. Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti apabila mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan pertumpahan darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.

 

Ikuti kami di :

Sharing is caring!

Please follow and like us: